Wan Fauzuldin Wan Samad

KUANTAN – Ketua Cabang Keadilan Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad menegur tindakan Penasihat DAP, Lim Guan Eng mendesak Perdana Menteri agar menunaikan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)lalu.

Wan Fauzuldin juga mengingatkan Guan Eng bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan perpaduan, bukan kerajaan PH secara mutlak seperti waktu beliau menjadi Menteri Kewangan di bawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir sebelum ini.

“Ertinya, sebagai kerajaan perpaduan, kita tidak boleh hanya memikirkan kehendak dan manifesto parti kita sahaja. Perkongsian kuasa perlu diterjemahkan dengan adil dan bijaksana agar kesemua parti di dalam kerajaan perpaduan mendapat faedah bersama.

“Parti seperti BN, GPS dan GRS yang sama-sama membentuk kerajaan perpaduan, mereka juga ada manifesto masing-masing dan mahu dilaksanakan.

“Sehubungan itu, PM mesti mengutamakan keperluan bersama untuk dilaksanakan terlebih dahulu berbanding kehendak parti masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim baru tiga tahun mentadbir negara dan menyifatkan ia tidak masuk akal kesemuanya dapat dilakukan dalam tempoh tersebut.

Dalam pada itu, Wan Fauzuldin turut mempersoal ‘kebisuan’ Guan Eng ketika Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa “Manifesto bukan kitab suci” ketika pemerintahannya yang lepas.

“Sepatutnya ketika itu Lim Guan Eng lantang membantah.  Mungkin Lim Guan Eng ‘segan” untuk membantah kerana Tun Mahathir telah melantik beliau ke jawatan penting di bawah pentadbirannya.

“Apa reformasi yang beliau lakukan di bawah kementeriannya ketika itu? Apakah kerana sekarang Lim Guan Eng tidak lagi menjadi menteri maka baru beliau sedar betapa pentingnya manifesto?,” soalnya lagi.

Terdahulu, Guan Eng menerusi kenyataan lima muka surat hari ini mengemukakan 10 tuntutan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan beliau sebagai perkara nasional yang penting termasuk menggesa janji manifesto PH pada PRU15 ditunaikan.

Ahli Parlimen (MP) Bagan itu antara lain menegaskan bahawa PH sebagai pemegang amanah kepada pengundi, tiada jalan lain kecuali melaksanakan janji Manifesto PH dengan segera. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Guan Eng kemuka 10 tuntutan kepada PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast