Rumah Lee Kuan Yew yang terletak di 38, Oxley Road. Gambar Berita Harian Singapura

SINGAPURA – Kerajaan Singapura mewartakan bekas rumah Perdana Menteri Lee Kuan Yew sebagai monumen negara.

Penwartaan itu sekali gus mengakhiri pertikaian antara anak-anak mendiang sejak kematian Kuan Yew pada 2015, apabila anak-anaknya bertelagah secara terbuka sama ada banglo di 38 Oxley Road harus dikekalkan atau dirobohkan.

Anak sulung Kuan Yew yang juga bekas perdana menteri Lee Hsien Loong, menyokong pemeliharaan rumah tersebut, yang menurut ejen hartanah pada 2024 bernilai sekitar S$30 juta (AS$23 juta).

Namun dua adiknya Lee Hsien Yang dan mendiang Lee Wei Ling mahu kediaman itu dirobohkan – merujuk kepada kandungan wasiat bapa mereka.

Pada tahun 2017, adik-beradik itu menuduh abang mereka, Hsien Loong cuba mengeksploitasi legasi bapa mereka untuk keuntungan politik, walaupun isu itu reda kerana Lee Wei Ling masih tinggal di rumah tersebut. Beliau meninggal dunia tahun lalu.

Pada Jumaat, Menteri Pemangku Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, David Neo, mengeluarkan perintah pemeliharaan untuk mewartakan tapak itu sebagai monumen negara.

Menurut kenyataan kementerian, keputusan itu “mengambil kira bantahan bertulis” oleh Lee Hsien Yang, yang kini tinggal dalam buangan sendiri di luar negara atas dakwaan penganiayaan politik, dakwaan yang dinafikan oleh kerajaan.

Lembaga Warisan Negara telah meneliti bantahan itu “dan mengekalkan syor agar tapak tersebut wajar dipelihara sebagai monumen negara kerana kepentingan sejarah dan kepentingan nasionalnya,” kata kenyataan itu.

Ia menambah, keputusan tersebut “dibuat demi kepentingan awam, dan melangkaui pilihan peribadi mana-mana individu”.

Hartanah itu merupakan rumah Kuan Yew dari pertengahan 1940-an sehingga kematiannya. Ia juga menjadi lokasi peristiwa penting pada 1950-an ketika Singapura beralih daripada tanah jajahan British kepada negara merdeka.

Ia juga menjadi tempat mesyuarat pemimpin utama sebelum kemerdekaan Singapura pada 1965.

Kerajaan berhasrat memperoleh tapak tersebut dan menjalankan kajian terperinci untuk mempertimbangkan langkah seterusnya, termasuk menjadikannya sebuah taman warisan, menurut kenyataan itu.

Kerajaan juga akan menghapuskan “semua kesan” ruang kediaman peribadi keluarga Kuan Yew daripada bahagian dalam rumah dan tidak akan menirunya di tempat lain sebagai menghormati hasrat mendiang untuk melindungi privasi mereka. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast