KUANTAN – Pemuda UMNO Pahang mengecam sekerasnya tindakan biadap DAPSY yang menekan kerajaan agar mengiktiraf UEC.
Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim berkata, tindakan DAPSY semakin melampau seolah-olah mahu menunjukkan hanya mereka yang pandai, faham dan berhak menentukan masa depan pendidikan negara.
“DAPSY kena ingat, negara ini bukan dibina atas suara yang paling kuat melalak, tetapi atas dasar yang menjaga semua rakyat.
“Hakikatnya kerajaan tak pernah pun menghalau, mengasak atau meminggirkan sekolah persendirian Cina. Tahun-tahun sudah, bantuan tetap turun, pintu runding pun tak pernah tertutup. Tapi DAPSY masih nak berlakon macam kerajaan ini zalim sangat,” katanya dalam kenyataan.
Kamil turut menempelak tindakan DAPSY mengungkit manifesto lama pihak lawan untuk menyokong desakan mereka.
Tegasnya, keadaan kini sudah berubah di mana keperluan turut berubah dan dasar pun perlu mengikut acuan semasa.
“Jadi bila DAPSY guna manifesto lama untuk cabar dasar negara, itu tandanya mereka sudah kekurangan akal untuk berhujah.
“Kenyataan DAPSY sekarang ini jelas sangat mereka tengah gelabah, tengah tersepit, sampai hujah pun sudah tak tahu hujung pangkal.
“Daripada berhujah elok-elok, mereka pilih jalan serang dan putar macam nampak dah hilang arah sangat hala tuju parti ini,” katanya lagi.
Kamil berkata, perbandingan UEC dengan A-level yang dibuat DAPSY juga jauh tersasar kerana A-Level adalah kelayakan antarabangsa, manakala UEC lahir dar isistem pendidikan tempatan yang tidak mengikuti kurikulum kebangsaan.
Beliau turut mengingatkan DAPSY bahawa rakyat tidak bodoh untuk menilai dan membezakan fakta. – MalaysiaGazette
















