Mohamad Alias Rasman.

KUALA LUMPUR – Armada Johor mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak beretika pihak yang merakam, menyunting serta menyebarkan sebuah video yang dimanipulasi mengaitkan Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Suntingan video yang tular itu memaparkan, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa  Muhyiddin mencuri wang parti.

Sedangkan dakwa Ketua Armada Johor, Alias Rasman, individu yang diperkatakan oleh Mahathir itu bukan Muhyiddin.

Oleh itu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau pihak yang terlibat kerana suntingan video berkenaan dibuat dengan berniat jahat sehingga menimbulkan persepsi salah dan cuba mengaitkan Armada Johor dengan naratif yang tidak benar.

“Video itu dirakam tanpa sebarang kebenaran ketika kunjung hormat Armada Johor dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 9 Disember lalu, sebelum dipotong dan dimanipulasi.

“Suntingan tersebut cuba mengaitkan Armada Johor serta Tun Dr. Mahathir dengan naratif palsu, seolah-olah bertujuan merosakkan reputasi Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedangkan individu yang didakwa dalam video itu bukan beliau.

“Armada Johor akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast