Muhammat Azis Malmod (kiri) menerima dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola dari Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Labuan, Mohd Suhaimi Mohd Yusof di pejabat JAWI Labuan di sini, semalam.

KUALA LUMPUR – Enam syor penambahbaikan tatakelola pelaksanaan jurunikah di luar kariah dibentangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan bagi kawasan berkenaan.

Ia membabitkan pelaksanaan jurunikah di luar kariah yang ditetapkan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan .

SPRM berkata, cadangan itu disyorkan kerana timbul kelonggaran dan kelemahan pelaksanaan akad nikah di luar kariah yang ditetapkan JAWI Labuan berdasarkan fail Kertas Penyiasatan Awal (KPA) yang dibuka pada 2024.

Antara cadangan diberikan adalah kemas kini Garis Panduan Pelantikan dan Penamatan Penolong Pendaftaran Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ Orang Islam (PPNCR).

“Selan itu, mewujudkan tatacara pembayaran upah PPNCR di peringkat JAWI Labuan bagi tujuan memudahkan audit dalaman dan rujukan jabatan secara berkala.

“Ia termasuk mewujudkan dan mengeluarkan satu borang dikeluarkan JAWI Labuan yang disediakan bagi Pendaftar untuk membenarkan jurunikah melaksanakan akad nikah di luar kariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah SPRM, pihaknya mencadangkan semua PPNCR menandatangani satu ‘Aku Janji’ setiap tahun dan mengikuti kursus pemantapan etika perkhidmatan serta tatakelola kerja.

Katanya, langkah itu penting bagi mencegah penyelewengan, salah laku dan memastikan sistem pengurusan perkahwinan di bawah JAWI Labuan sentiasa mematuhi peraturan, mengelakkan konflik kepentingan serta menegakkan integriti institusi agama.

Terdahulu, Pengarah SPRM Labuan, Muhammat Azis Malmod telah membentangkan syor berkenaan dan disambut baik oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Labuan, Mohd Suhaimi Mohd Yusof yang diadakan di pejabat JAWI Labuan, semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast