Dua maut dalam kejadian runtuhan tren yang mengangkat arang batu di Malakoff Power Plant, Jalan Tanjung Bin, Kukup, Pontian, Johor. 13 DISEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

JOHOR BAHRU – Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) akan menjalankan siasatan dalaman bagi menentukan punca sebenar kren runtuh di jeti Kompleks Tanjung Bin, Pontian, di sini hari ini.

Malakoff dalam satu kenyataan memberitahu, insiden itu berlaku pada kira-kira pukul 12 tengah hari semasa kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilakukan.

“Pasukan Respons Kecemasan (ERT) loji segera dikerahkan ke lokasi kejadian. Insiden itu menyebabkan dua pekerja kontraktor terbabit telah meninggal dunia manakala tiga lagi cedera dan dimasukkan ke hospital,” maklum kenyataan itu.

Malakoff turut memaklumkan bahawa kawasan terjejas telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga dan siasatan akan dimulakan sebaik sahaja operasi menyelamat selesai sepenuhnya.

“Keselamatan dan kesejahteraan semua kakitangan yang terlibat kekal sebagai keutamaan tertinggi kami,” katanya.

Syarikat berkenaan memaklumkan bahawa operasi di Loji Janakuasa Tanjung Bin serta Loji Janakuasa Tenaga Tanjung Bin akan diteruskan seperti biasa dan tidak terjejas oleh insiden tersebut.

Pihaknya akan memberikan maklumat lanjut jika terdapat sebarang perkembangan penting.

Daam kejadian tersebut, dua pekerja maut tertimbus manakala seorang terselamat dalam kejadian runtuhan tren yang mengangkat arang batu di Malakoff Power Plant, Jalan Tanjung Bin, Kukup.

Mangsa yang terkorban Muhammad Alfarid bin Ahmad, berusia 19 tahun beralamat di Tanah Merah, Kelantan dan Muhammad Amaluddin Hisamudin berumur 22 tahun beralamat di Gelang Patah.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast