Dua pekerja subkontraktor yang terselamat dalam kejadian runtuhan tren di Loji Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup, Pontian siang tadi kini dilaporkan kritikal.

PONTIAN – Dua pekerja subkontraktor yang terselamat dalam insiden runtuhan dan kebakaran kren di Loji Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup, di sini hari ini, kini dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Seorang lagi mangsa yang sebelum ini dirawat di Zon Kuning Hospital Pontian turut dirujuk ke HSA bagi menjalani pemeriksaan lanjut termasuk imbasan MRI.

“Seorang daripada mangsa yang parah mengalami patah tulang rusuk yang terkeluar menurut doktor pakar,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Kecemasan Hospital Pontian di sini.

Katanya, semua mangsa merupakan pekerja subkontraktor penyelenggaraan kren yang sedang menjalankan kerja-kerja di kawasan jeti ketika kejadian runtuhan berlaku.

“Hasil kerjasama pihak penyelamat, polis, bomba dan pihak berkuasa Tanjung Bin mendapati siasatan awal menunjukkan staf kontraktor sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Kawasan kejadian masih ditutup dan akan ditutup sehingga siasatan pihak bomba selesai, ”ujarnya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Dalam pada itu, seramai 15 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 1.01 petang.

Daam kejadian tersebut, dua pekerja maut terbabit tertimbus manakala seorang terselamat dalam kejadian runtuhan tren yang mengangkat arang batu di Malakoff Power Plant, Jalan Tanjung Bin, Kukup.

Mangsa yang terkorban Muhammad Alfarid bin Ahmad, berusia 19 tahun beralamat di Tanah Merah, Kelantan dan Muhammad Amaluddin Hisamudin berumur 22 tahun beralamat di Gelang Patah.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast