Datuk Dzulkhairi Mukhtar

MELAKA – Polis Melaka akan memanggil individu yang menularkan video berkaitan anggota trafik didakwa menghalang ambulans dan memberikan laluan kepada konvoi delegasi pelabur dari China pada Khamis lepas, dalam masa terdekat.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian berhubung perkara itu.

“Kita terima dan memang mengalu-alukan maklumat daripada orang awam jika berkaitan dengan salah laku polis, tetapi kalau membabitkan perkara yang menjatuhkan fitnah kepada polis, perkara ini memang kita tolak.

“Kita tidak akan beri muka dan saya akan siasat perkara ini. Kita akan pastikan orang yang sengaja buat fitnah terhadap polis akan diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Legacy 04 RX-Z X 125ZR Melaka Attack yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini malam tadi.

Terdahulu, Dzulkhairi dalam kenyataan menegaskan bahawa anggota trafik tidak menghalang pergerakan sebuah ambulans seperti yang didakwa dalam video tular, manakala bunyi siren yang kedengaran dalam rakaman itu ialah milik polis yang sedang menjalankan kawalan lalu lintas semasa mengiringi konvoi delegasi pelabur dari China. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast