Masjid Al-Madaniah, USJ 18, Subang Jaya.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak bertanggungjawab dalam urusan pembayaran kepada subkontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja kerja-kerja penurapan tar parkir dan jalan bagi projek pembinaan Masjid Al-Madaniah, USJ 18, Subang Jaya.

Sebaliknya, JAIS hanya bertanggungjawab untuk memastikan pembinaan masjid tersebut dibuat mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Oleh itu, segala isu dan dakwaan yang timbul berkaitan isu pembayaran dan lain-lain perkara yang melibatkan pertikaian pihak-pihak terlibat dalam kerja-kerja pembinaan adalah tidak melibatkan pihak JAIS sama sekali.

Pihak JAIS tidak wajar untuk disalahkan dan diheret sama dalam pertikaian tersebut, tegas pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad
Mohd. Shahzihan Ahmad.

Jelas beliau, projek pembinaan Masjid Al-Madaniah USJ 18, Subang Jaya dibina dengan peruntukan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (ICU) dan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh ICU Selangor.

JAIS pula selaku agensi pengguna telah menerima masjid berkenaan yang bernilai RM11,853,926.13 dari ICU Selangor pada 22 April 2021.

“Selaku penerima, JAIS telah memastikan semua aspek fizikal Masjid Al-Madaniah dalam skop kontrak adalah memuaskan. Perkara ini adalah lazim sebagai agensi bukan teknikal sebelum menerima apa-apa serahan bangunan baharu,” katanya yang mengulas video tular berhubung tuntutan bayaran projek berkenaan.

Katanya, dalam isu ini, JAIS juga telah mengambil tindakan mempertemukan pihak-pihak yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian.

Malangnya, pihak-pihak yang bertikai tidak mencapai penyelesaian.

“JAIS menegaskan pihak kami tidak bertanggungjawab untuk melunaskan tuntutan yang dikemukakan oleh pihak yang bertikai kerana perkara yang dipertikai bukan di bawah kawalan dan kuasa JAIS,” katanya lagi.

JAIS mengingatkan orang awam untuk tidak membuat ugutan dan ancaman atau mengeluarkan apa-apa kenyataan yang mengandungi fitnah kepadanya berhubung perkara ini.

Orang awam juga diingatkan untuk tidak menceroboh kawasan masjid dan membuat apa-apa tindakan merosakkan atau mencacatkan struktur binaan di dalam bangunan masjid atau kawasan masjid berkenaan.

“JAIS akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast