Oplus_131072

JOHOR BAHRU – Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Johor (Juita) berhasrat kembali mengendali 25 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di negeri ini.

Yang Dipertua JUITA, Datin Siti Yusnita Muhamad Yusop berkata, tujuannya bagi menjaga kebajikan dan kepentingan ahli PDK sebagaimana yang pernah dilaksanakan mereka sebelum ini.

“Pentadbiran PDK kini berada sepenuhnya bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Juita berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan penglibatan semula organisasi ini dalam aspek sokongan dan pengurusan PDK.

“Selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya sebelum ini, JKM mengambil alih PDK,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Juita Kali Ke-24 di Holiday Villa, di sini hari ini.

Perasmian mesyuarat tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Setiausaha BN Johor, Senator Datuk Halim Suleiman.

Siti Yusnita berkata, hasrat tersebut bukan berteraskan kepada kuasa, sebaliknya didorong oleh semangat kebajikan, kasih sayang serta sentuhan keibuan Juita.

Jelasnya, faktor itu menjadi kekuatan utama Juita dalam membantu komuniti memerlukan, khususnya golongan orang kurang upaya dan keluarga mereka.

Sementara itu, Mohd Hairi menyifatkan mesyuarat kali ini sebagai pasca pemulihan diadakan pada waktu yang tepat dan menjadi platform menilai semula struktur dan tadbir urus Juita.

Jelasnya , ini termasuk memperkemas hala tuju dan fokus gerak kerja selainbmemperkuat integriti, akauntabiliti dan kepercayaan awam.

Beliau berharap, Juita akan tampil sebagai badan amal yang lebih tersusun dan profesional, lebih inklusif dan strategik serta lebih berimpak kepada rakyat.

Mohd Hairi juga mahu Juita memperbanyak program kebajikan di setiap kawasan selain melahirkan lebih ramai sukarelawan wanita.

“Begitu juga gerakkan program pembangunan komuniti yang lebih tersusun, inklusif dan berimpak tinggi serta memperkukuhkan hubungan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pimpinan kawasan dan masyarakat setempat.

“Saya yakin, dengan kepimpinan baharu, Juita mampu mencipta identiti kerja yang lebih segar, moden dan tersusun, seiring hala tuju parti dan Kerajaan Negeri Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast