KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja menghentikan segala bentuk permusuhan dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut.
Ini termasuk berhenti menggunakan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan berkuatkuasa 10 malam, 13 Disember 2025 (UTC+7), tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Susulan perbincangan saya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, dan mengambil kira ketegangan berterusan di sempadan Kemboja–Thailand, saya telah mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, hari ini.
Tambah Anwar, bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan, Malaysia telah meminta penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team – AOT) yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia untuk memantau situasi di lapangan.
Misi tersebut akan turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat, bermula pada waktu yang sama.
Dapatan pemantauan lapangan dan satelit ini akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, 16 Disember.
Laporan tersebut akan memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak, demi kepentingan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau.
Menurutnya, Malaysia kekal fokus untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi memastikan dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama. – MalaysiaGazette
















