Jambatan Pulau Pinang antara mercu tanda bagi Pulau Pinang. - Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendesak kerajaan negeri serta agensi berkaitan mengambil langkah pencegahan keselamatan segera, khususnya di lokasi berisiko tinggi termasuk Jambatan Pulau Pinang.

Gesaan itu susulan tiga insiden lelaki jatuh ke laut yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam di sekitar negeri ini.

Ketua Biro Polisi dan Dasar MUDA Pulau Pinang, Darma Maniam berkata, kejadian berkenaan bukan lagi bersifat terpencil kerana ia menambah kepada beberapa insiden lain yang berlaku dalam tempoh setahun kebelakangan ini.

“Insiden jatuh ke laut sama ada berpunca daripada kemalangan, kecuaian atau kemungkinan isu kesihatan mental merupakan ancaman keselamatan awam yang tidak boleh dipandang ringan.

“Setiap kali kejadian berlaku, pasukan penyelamat terpaksa berkejaran dengan masa dan terlalu banyak kes berakhir dengan kehilangan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Darma berkata, pihaknya juga menggesa pelaksanaan audit keselamatan menyeluruh di Jambatan Pulau Pinang dan kawasan perairan berisiko tinggi, selain menaik taraf penghadang keselamatan termasuk pemasangan struktur anti-panjat atau pagar tambahan di zon hotspot.

“Langkah itu telah diamalkan di negara maju seperti Golden Gate Bridge di Amerika Syarikat, Sydney Harbour Bridge di Australia dan Clifton Suspension Bridge di United Kingdom yang terbukti mengurangkan insiden antara 90 hingga 95 peratus.

“Selain itu, pemasangan CCTV pintar dengan analitik kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan hentian abnormal, pergerakan pejalan kaki dan tingkah laku berisiko di atas jambatan turut dicadangkan.

“Papan tanda sebagai intervensi awal kepada individu yang memerlukan bantuan termasuk kod QR hotline serta talian kecemasan kesihatan mental juga perlu diperbanyakkan, selain meningkatkan rondaan keselamatan terutama pada waktu puncak atau di kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku insiden,” katanya.

Tambah beliau, setiap nyawa amat berharga dan tindakan pencegahan tidak boleh ditangguhkan kerana langkah keselamatan yang komprehensif bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya, pasukan penyelamat dan komuniti nelayan setempat.

ARTIKEL BERKAITAN

Tiga lelaki jatuh dalam laut di Pulau Pinang dalam tempoh 24 jam

Media sebelum ini melaporkan, tiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan secara serentak selepas tiga lelaki dilaporkan terjatuh ke laut dalam tiga insiden berasingan di Jambatan Pulau Pinang dan Dermaga Dalam, Butterworth dalam tempoh kurang 24 jam pada Isnin dan Selasa lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast