Amiruddin Md Ali Hanafiah

JOHOR BAHRU – Ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju dan melayan tuntutan yang melanggar prinsip kerajaan dalam mempertahankan Perlembagaan adalah satu tindakan berjiwa besar.

Ketua Satu Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md Ali Hanafiah berkata, ini kerana perdana menteri meletakkan prinsip berperlembagaan lebih penting daripada parti politik terutama membabitkan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Permuafakatan Penulis Malaysia (MPPM) berkata, kenyataan itu juga merupakan keputusan yang tepat berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri jelas menghormati dan mengutamakan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan dalam membuat keptusan walaupun tuntutan itu dibuat oleh ahli kabinet yang beliau lantik.

“Penolakan pengiktirafan UEC wajar disokong oleh Kabinet bagi menegaskan UEC tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Kementerian Pelajaran (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu menyatakan UEC tidak diiktiraf dalam Sistem Pendidikan di negara ini.

“Mana-mana badan, pemimpin atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak kerajaan menolak tuntutan pengiktirafan UEC, wajar menyatakan rasa penghargaan dan terima kasih kepada perdana menteri yang prihatin dan mendengar suara hati rakyat yang mahukan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan dihormati.

“Kerajaan perlu mewujudkan Dasar Bahasa Kebangsaan untuk dilaksanakan di negara ini dan menjadi amalan dan peraturan di semua agensi kerajaan dan dijiwai warganegara Malaysia,” katanya.

Semalam Anwar menegaskan tidak akan bersetuju dan melayan tuntutan yang melanggar prinsip kerajaan dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan

Katanya, sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan negara.

Beliau berkata sebagai Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang dilapor berkata, parti itu akan berjumpa dengan perdana menteri berhubung pengiktirafan UEC.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast