KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengesahkan menerima laporan berhubung satu insiden kemalangan maut melibatkan runtuhan struktur kren di sebuah fasiliti janakuasa elektrik di Daerah Pontian semalam.
JKKP Johor dalam kenyataan memaklumkan, sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian itu, pihaknya telah segera menggerakkan pasukan penyiasat ke lokasi kemalangan.
Berdasarkan maklumat awal, insiden tersebut melibatkan lima pekerja kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di fasiliti berkenaan.
“Semasa aktiviti penyelenggaraan dijalankan, struktur kren telah runtuh mengakibatkan dua pekerja meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi cedera dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Susulan kejadian itu, JKKP Johor telah mengeluarkan dua notis larangan serta mengarahkan penutupan kawasan lokasi kemalangan sehingga siasatan selesai dijalankan.
Tambah kenyataan itu, siasatan terperinci akan dilaksanakan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.]
Tindakan perundangan juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati berlaku pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Di bawah akta ini, majikan boleh dikenakan hukuman maksimum denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.
Dalam pada itu, JKKP Johor menegaskan, pihaknya memandang serius setiap kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan menasihatkan majikan supaya sentiasa cakna terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Majikan juga diingatkan agar menjalankan pentaksiran risiko bagi setiap aktiviti kerja serta mengambil langkah-langkah kawalan yang sewajarnya bagi menghapuskan atau mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja. – MalaysiaGazette
















