Pihak bomba berusaha untuk mengeluarkan mayat mangsa tersepit dalam insiden Kampung Merchong, Nenasi di Pekan malam tadi

PEKAN – Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori treler di Kampung Merchong, Nenasi di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.41 malam itu, mangsa, Muhammad Fakhri Waqiuddin Basri, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit di bahagian pemandu dalam insiden berkenaan.

Kenyataan menerusi Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 10.41 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 15 kilometer.

“Jentera bomba tiba di lokasi 10.50 malam dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori treler dan sebuah Perodua Myvi. Pemandu Myvi didapati tersepit manakala pemandu treler selamat.

“Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan di lokasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas (rescue tool) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat polis bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Operasi menyelamat dijalankan oleh seorang pegawai bomba bersama lima anggota dan sebuah jentera LFRT itu ditamatkan sepenuhnya pukul 11.37 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast