Steven Sim (tengah) menyerahkan cek berjumlah RM9,100 kepada Ah Aik.

GEORGE TOWN – Nasib seorang penjaga stor yang patah kaki akibat kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja terbela apabila rayuan tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dikemukakan berjaya, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Beliau berkata, mangsa, Ah Aik, 53, sebelum ini terlibat dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sehingga menyebabkan tulang lutut kiri pecah dan kaki kirinya patah.

Katanya, kecederaan itu menyebabkan Ah Aik tidak mampu berjalan tanpa bantuan tongkat dan kehilangan sumber pendapatan selepas kemalangan tersebut.

“Ah Aik tidak menyedari dirinya telah kehilangan pekerjaan kerana menyangka surat yang diberikan majikan hanyalah bantuan, memandangkan dia tidak tahu membaca.

“Disebabkan dokumen tidak lengkap pada peringkat awal, tuntutan Perkeso tersebut telah ditolak, sebelum Ah Aik menghubungi saya kira-kira sebulan lalu kerana buntu memikirkan nasib keluarganya, terutama anak-anak yang masih bersekolah termasuk seorang di kolej,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah Steven Sim, susulan itu beliau membantu melengkapkan permohonan dan mengemukakan rayuan kepada Perkeso mengikut prosedur serta undang-undang yang ditetapkan.

Steven Sim turut menekankan pentingkan RUU Lindung 24 jam bagi pekerja seperti Ah Aik.

“Hari ini saya bawa berita gembira kepada Ah Aik iaitu rayuan tuntutan Perkesonya telah berjaya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Steven Sim menziarahi Ah Aik bersama Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan, Wong Hon Wai; Ahli Majlis, wakil Ahli Parlimen Ramkarpal, kepimpinan MPKK serta wakil Perkeso Pulau Pinang.

Pada pertemuan itu, beliau menyerahkan cek berjumlah RM9,100 kepada Ah Aik dan memaklumkan Perkeso akan menguruskan faedah-faedah lain termasuk rawatan pemulihan serta bantuan mencari pekerjaan menerusi MyFutureJobs selepas mangsa sembuh.

Dalam perkembangan sama, Steven Sim turut memaklumkan bahawa ramai pekerja di negara ini menghadapi situasi serupa, iaitu mengalami kemalangan tetapi kes mereka kerap dikira sebagai “bukan bencana kerja”, menyebabkan mereka tidak layak menerima sebarang faedah hilang upaya walaupun caruman Perkeso dibayar setiap bulan.

“Sebab itulah pentingnya Rang Undang-Undang Lindung 24 Jam, yang telah diluluskan di Dewan Rakyat dan dijadualkan dibentangkan di Dewan Negara pada 17 Disember ini.

“Kita berharap dengan pelaksanaan RUU ini, lebih ramai pekerja seperti Ah Aik dapat menikmati perlindungan sosial yang menyeluruh dan selaras dengan realiti kehidupan harian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast