KUALA LUMPUR – Kerajaan didakwa gagal mempamerkan visi strategik apabila lebih menumpukan isu-isu kecil berbanding menangani masalah besar yang menjejaskan nyawa, keselamatan serta ekonomi rakyat.
Pemangku Ketua Wira Parti Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal menegaskan, kerajaan dilihat pantas tampil ke hadapan apabila melibatkan isu remeh seperti etika pemakaian penjawat awam namun seolah-olah mendiamkan diri apabila berdepan isu kritikal yang memerlukan keberanian politik dan tindakan tegas.
“Pendekatan kerajaan dalam menangani bencana banjir terus berulang dengan skrip lama melibatkan simpati, bantuan segera dan lawatan pascabencana, tanpa bukti jelas usaha pencegahan sebelum bencana berlaku.
“Rakyat mahukan tindakan awal dan perancangan berkesan, bukan retorik selepas kerosakan berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Izwan turut mempersoalkan, kegagalan kerajaan memberikan penjelasan komprehensif mengenai projek mitigasi banjir termasuk status pelaksanaan, peningkatan kapasiti takungan air serta hasil yang boleh diukur daripada perbelanjaan berbilion ringgit wang rakyat.
Dalam isu keselamatan jalan raya pula, Mohamad Izwan menzahirkan kebimbangan terhadap sikap longgar kerajaan dalam menangani kes pemandu mabuk yang terus meragut nyawa.
Beliau mendakwa, kelemahan penguatkuasaan dan ketiadaan komitmen nasional mencerminkan kegagalan moral serta pentadbiran sekali gus menafikan tanggungjawab kerajaan sebagai pelindung rakyat.
Beliau turut mengkritik sikap kerajaan yang didakwa selektif dalam memilih isu demi menjaga persepsi dan sentimen kelompok tertentu selain mengamalkan komunikasi berbentuk propaganda jangka pendek tanpa data, metrik dan pelan pelaksanaan yang telus.– MalaysiaGazette
















