SEMENYIH – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) agar tidak menyesal sekiranya meninggalkan gabungan parti itu kerana BN tidak akan menerima mereka kembali.
Walaupun tidak menyebut mana-mana parti secara khusus namun kenyataan Pengerusi BN itu dipercayai merujuk kepada MIC yang kini berdepan ketegangan hubungan dalam gabungan berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, sejarah persahabatan dan kesetiaan lebih tujuh dekad dalam BN seharusnya dihargai dan tidak diketepikan hanya kerana wujud rasa tidak puas hati atau ‘kemabukan kuasa’.
“Jangan buat keputusan hanya kerana ‘mabuk kuasa’ dan tanpa mengira kita adalah kawan lebih dari 70 tahun. Saya bimbang ada pihak yang akhirnya berada dalam keadaan gantung tidak bertali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) di Setia Ecohill hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, politik bukan medan untuk membuat keputusan ketika marah, sedih atau terdesak.
Sebaliknya, kata beliau, ia memerlukan kesabaran dan pertimbangan rasional kerana landskap politik sentiasa berubah.
Pada masa sama, beliau turut menyindir ada ‘pihak’ tertentu yang sebelum ini enggan mendekati Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani namun selepas kerajaan itu stabil, mereka mendakwa kononnya dipinggirkan serta dianaktirikan.
Sementara itu ditanya wakil media selepas majlis itu sama ada MIC ada menghantar sebarang resolusi untuk meninggalkan BN, Ahmad Zahid tidak nampak apa-apa resolusi atau surat dan BN tidak membuat sebarang keputusan lagi mengenainya.
Bagaimanapun, jika MIC tidak dapat membuat keputusan, BN akan membuat keputusan berhubung perkara yang sama, katanya.
Ahmad Zahid turut memberitahu, kedua-dua pihak tidak mengadakan sebarang pertemuan pasca Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC yang lalu.
Dalam AGM pada bulan lalu itu, perwakilan MIC sebulat suara bersetuju meluluskan usul untuk keluar daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, para perwakilan turut bersetuju keputusan muktamad berhubung perkara itu ditangguhkan sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) akan datang bagi memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi parti membuat pertimbangan menyeluruh. – MalaysiaGazette
















