JOHOR BAHRU – Seorang warga emas menyifatkan keadaan rumah mangsa banjir di Kampung Mohd Amin di sini umpama ‘kapal karam’ kerana tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah.
Ramlah Abdullah, 76, berkata, ini kerana banjir kilat berkenaan berlaku dengan cepat dan tidak diduga sehingga membuatkan penduduk kelam-kabut.
“Banjir kilat berlaku selepas hujan hanya hampir setengah jam dan kami difahamkan ia berpunca daripada air pasang yang bertembung air hujan selain benteng di parit besar pecah.
“Rumah saya antara yang terjejas apabila dinaiki air melebihi satu meter dan mengakibatkan pelbagai barangan dan perkakas dalam rumah rosak,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima bantuan Pasaraya Econsave yang disampaikan Pengurus Besar, Mas Imran Adam.
Ramlah berkata, banjir kilat tersebut berlaku dua hari berturut-turut dan keadaan itu berbeza dengan sebelum ini termasuk kejadian pada Mac lalu yang berlaku selepas hujan agak lama.
“Pada kali ini, kurang 24 jam kami bersihkan rumah selepas air surut, banjir kilat berulang lagi hingga ia menimbulkan pelbagai kesulitan.
“Pelbagai barangan elektrik di rumah sudah rosak dan begitu juga dengan pakaian, tilam dan barangan makanan hingga rumah saya kelihatan seperti kapal karam serta dipenuhi lumpur yang tebal,” ujarnya.
Menurutnya, buat sementara waktu dia tinggal di rumah anaknya di Taman Mutiara Rini atau di Nusa Idaman kerana bimbang kejadian sama berulang.
Sementara itu, seorang penduduk, Fadzilah Khamis, 45, berkata, keluarga mangsa banjir yang memiliki anak terjejas teruk apabila seetengahnya tidak sempat memindahkan barangan.
“Ada yang tidak sempat mengalihkan kenderaan kerana perlu menyelamatkan anak dan ahli keluarga,” katanya.
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat pula berkata, pihak berkaitan akan mengambil tindakan sesuai bagi membaik pulih tembok atau tebing yang pecah berhampiran kampung berkenaan.
“Kawasan berkenaan dilengkapi dengan pam bagi menyedut air berlebihan namun pada hari kejadian ia melebihi had.
“Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dijangka akan menjalankan usaha sesuai bagi mengatasi masalah tebing pecah itu,” katanya.
Kira-kira 15 rumah yang terjejas dengan banjir kilat membabitkan 60 mangsa di perkampungan berkenaan.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu, seramai 18 bayi antara 34 mangsa dilaporkan terperangkap di sebuah tadika selepas banjir kilat melanda kawasan Kampung Mohd Amin.- MalaysiaGazette















