Anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat dalam kejadian runtuhan tren di Loji Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup, Pontian, kelmarin

JOHOR BAHRU – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengeluarkan dua notis larangan serta mengarahkan penutupan lokasi runtuhan struktur kren di sebuah fasiliti janakuasa elektrik di sini kelmarin.

JKKP Johor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden tersebut pada pukul 12.10 tengah hari dan menggerakkan pasukan penyiasat ke tempat kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal yang diterima, insiden ini melibatkan lima pekerja kontraktor yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di fasiliti berkenaan.

“Semasa aktiviti tersebut dijalankan, struktur kren runtuh, mengakibatkan dua pekerja meninggal dunia, manakala tiga pekerja lain cedera dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” maklum kenyataan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/12/15/bomba-siasat-kebakaran-pacuan-empat-roda-di-lokasi-kren-runtuh/

JKKP memberitahu, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca-punca kemalangan.

“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat perlanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Di bawah Akta ini, hukuman maksimum terhadap majikan adalah sebanyak RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika didapati sabit kesalahan,” tambah kenyataan itu.

JKKP Johor turut memaklumkan pihaknya memandang serius terhadap setiap kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan menasihatkan majikan supaya lebih cakna terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mahu siasatan rapi, telus dan menyeluruh dijalankan berhubung insiden runtuhan dan kebakaran kren di Loji Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup, Pontian.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dalam satu kenyataan menyeru pihak berkuasa berkaitan khususnya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga serta agensi teknikal yang terlibat, mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat dilaporkan berkata, dua pekerja maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kren yang mengangkat arang batu runtuh dalam kejadian di loji berkenaan.

Mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan kira-kira pukul 3 petang sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala tiga lagi pekerja lelaki tempatan yang cedera dibawa ke Hospital Pontian sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast