KUALA LUMPUR – Menyifatkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dengan jumlah pengguna berskala besar sebagai berdaftar melalui mekanisme Peruntukan Deemin merupakan langkah signifikan bagi melengkapkan pelaksanaan dan memperkukuh Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
Dalam masa yang sama, Bahagian Hal Ehwal Undang- Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) berkata, langkah itu memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi secara teratur di tanpa menjejaskan kesinambungan operasi platform global.
“Pendekatan ini juga mencerminkan prinsip akauntabiliti yang menjadi teras kepada Akta 866 iaitu memastikan penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab yang jelas terhadap keselamatan pengguna bagi melindungi golongan rentan khususnya kanak-kanak daripada kemudaratan dalam talian seperti buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran kandungan memudaratkan.
“Langkah ini juga dilaksanakan dengan mengambil kira keseimbangan antara keselamatan dalam talian dan kebebasan bersuara,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, BHEUU JPM yang menyambut baik langkah itu turut memberi jaminan akan terus memberi kerjasama dengan kementerian dan agensi yang berkaitan serta pihak berkepentingan untuk memastikan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berkesan.
“Kerajaan Madani kekal komited untuk membina ekosistem digital yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, di samping memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan awam rakyat Malaysia,” tambahnya.
Hari ini, MCMC memaklumkan semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Januari 2026.
Langkah itu bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di dalam negara beroperasi dalam kerangka undang-undang serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.- MalaysiaGazette
















