KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan menegur Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, supaya menyedari bahawa polemik antara kedua dua parti politik itu berpunca daripada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Arvind, penggunaan istilah seperti mabuk dan mabuk todi yang diungkap Ahmad Zahid semasa merasmikan Persidangan IPF semalam adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi ia ditujukan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN).
“Dei macha Akmal, sedarlah polemik UMNO–MIC hari ini berpunca daripada kenyataan Datuk Seri Zahid sendiri yang melontarkan kata-kata tidak senonoh terhadap MIC,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Kata Arvind, tindakan Akmal mempertahankan kenyataan tersebut mencerminkan sikap kepimpinan Pemuda UMNO yang selari dengan kepimpinan tertinggi parti.
Sementara itu, Arvind mencabar Ahmad Zahid supaya menarik balik bon kesetiaan RM100 juta yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.
Beliau mendakwa terdapat wakil rakyat BN yang tidak senang dengan kepimpinan presiden UMNO itu.
Beliau turut mempersoalkan perubahan pendirian Ahmad Zahid selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), daripada bertindak neutral kepada menyokong pembentukan kerajaan dengan menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri dan bekerjasama dengan DAP.
Kata Arvind, Ahmad Zahid sepatutnya mempertimbangkan untuk berundur selepas PRU15 atau selepas kekalahan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Jangan lupa atau mungkin berpura-pura tidak ingat, masa Presiden UMNO bertanding di kawasannya sehingga menang pada PRU lepas, MIC dan masyarakat India juga turut menyumbang untuk kemenangan itu, ketika itu tidak pula bicara tentang ‘mabuk’,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















