Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan di bawah kesalahan jenayah Kanun Keseksaan terhadap sebuah program pelaburan dianjurkan oleh sebuah koperasi yang didakwa memperdaya puluhan pelabur.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada 66 individu yang mendakwa menjadi mangsa kepada program pelaburan berkenaan disyaki tidak wujud atau bersifat palsu.

Menurut beliau, koperasi terbabit menawarkan pelbagai skim pelaburan dengan janji pulangan tinggi dan menarik namun keseluruhan jumlah pelaburan yang dibuat oleh mangsa dianggarkan mencecah RM4.92 juta.

“Kesemua pengadu merupakan ahli berdaftar koperasi berkenaan kerana skim pelaburan ini ditawarkan secara eksklusif kepada ahli sahaja.

“Mereka bersetuju menjadi ahli selepas dijanjikan pulangan pelaburan yang tinggi, kebanyakannya melibatkan rakyat biasa yang mencari pendapatan sampingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishamuddin berkata, mangsa kemudiannya mendapati pulangan yang dijanjikan tidak diperoleh manakala modal pelaburan yang diserahkan kepada koperasi berkenaan didakwa lesap menyebabkan mereka menanggung kerugian besar.

“Wang simpanan mangsa yang digunakan untuk pelaburan tersebut hangus begitu sahaja. Mangsa telah membuat laporan polis sekitar penghujung 2023 selepas menyedari mereka disyaki diperdaya untuk menyertai skim pelaburan yang pada hakikatnya tidak wujud,” ujarnya.

Namun, menurut Hishamuddin, terdapat mangsa yang dimaklumkan laporan mereka dirujuk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) manakala sebahagian yang lain diberitahu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, MHO bersama mangsa telah hadir membuat aduan dan rayuan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM bagi memohon pertimbangan agar siasatan dapat dijalankan di bawah kesalahan jenayah Kanun Keseksaan, termasuk bagi laporan yang sebelum ini dirujuk kepada SKM.

“MHO mencadangkan agar PDRM mempertimbangkan untuk menjalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi memastikan keadilan kepada mangsa yang menanggung kerugian besar.

“Ini bukan sekadar melibatkan kerugian kewangan, sebaliknya turut membabitkan kepercayaan dan keselamatan pelabur awam di negara ini.

“Oleh itu, MHO menggesa pihak berkuasa khususnya PDRM mengambil tindakan tegas dan segera terhadap dalang di sebalik program pelaburan ini bagi menegakkan keadilan serta mengelakkan lebih ramai rakyat menjadi mangsa penipuan pelaburan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast