KUALA LUMPUR – Petroleum Sarawak Berhad (Petros) bekerjasama dengan dan China Jiangsu International Economic Technology Cooperation Group Ltd. (CJI) bagi membangunkan Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH) di negeri itu.
Kerjasama tersebut dijalinkan menerusi perjanjian rangka kerja di antara syarikat milik kerajaan Sarawak itu dengan CJI diikuti pemeteraian tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pelabur awal bagi projek berkenaan.
Majlis disaksikan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Nanjing, China pada Khamis.
Menurut Abang Johari, kerjasama di antara Petros, CJI dan tujuh firma dari China itu berpotensi menarik sehingga AS$7 bilion (kira-kira RM28.7 bilion) dalam pelaburan ekonomi hijau bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Tambahnya, suntikan modal ke dalam ekonomi juga bakal meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar bersama dengan pelaburan-pelaburan lain ke Sarawak.
Ia juga akan membantu membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di samping meningkatkan pendapatan isi rumah di negeri itu.
Tujuh syarikat China yang terlibat adalah Jiangsu Unicorn and Gazelle Enterprise Alliance, CUCDE Environmental Technology Co. Ltd.; Nanjing TOUA Hardware & Tools Co. Ltd; Nanjing Wondux Environmental Protection Technology Corp., Ltd.; Jiangsu Ankura Smart Power Station Technology Co., Ltd.; ASEAN Jiangsu Chambers of Commerce Alliance; dan Jiangsu Complete Equipment Co., Ltd. -MalaysiaGazette















