ISKANDAR PUTERI – Lebih 1,000 anak pokok bakau ditanam di Ataraxia Park, Forest City, dekat sini sebagai sebahagian usaha memperkukuh persisir pantai dan menggalak pemuliharaan berasaskan komuniti.
Usaha tersebut dilakukan Forest City bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan berasaskan kebajikan, Hope 100 di kawasan tersebut semalam.
Forest City dalam kenyataan memberitahu, inisiatif berteraskan komuniti itu merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang pihaknya terhadap pemeliharaan alam sekitar, daya tahan pesisir pantai serta pembangunan mampan.
“Program ini melibatkan 150 sukarelawan, penduduk dan rakan kerjasama yang menanam lebih 1,000 anak pokok bakau di sepanjang beberapa bahagian pesisir pantai.
“Inisiatif ini bertujuan memulihkan habitat semula jadi, mengurangkan hakisan, serta meningkatkan daya tahan iklim jangka panjang di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan tersebut.
Forest City menjelaskan, pemulihan bakau memainkan peranan penting dalam melindungi kawasan pantai daripada ombak besar dan tsunami, meningkatkan penyerapan karbon serta menyediakan kawasan pembiakan untuk hidupan marin.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Jenama, Jualan dan Pemasaran Country Garden Malaysia, Fang Fang berkata, usaha kolaboratif itu mencerminkan komitmen berterusan Forest City terhadap pemeliharaan alam sekitar.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Hope 100 dalam usaha pemulihan bakau yang bermakna ini. Bakau merupakan antara pertahanan semula jadi paling kukuh dalam menghadapi perubahan iklim dan hakisan pantai.
“Dengan melibatkan komuniti secara langsung dalam usaha pemuliharaan, kami bukan sahaja memulihkan habitat penting, malah memupuk kesedaran alam sekitar jangka panjang dalam kalangan penduduk dan sukarelawan,” katanya.
Inisiatif itu katanya, mencerminkan komitmen Forest City untuk membina masa depan mampan dengan pembangunan dan alam semula jadi dapat wujud secara seimbang.
“Syarikat turut melaburkan lebih RM140 juta dalam usaha pemeliharaan alam sekitar, termasuk pemuliharaan bakau dan rumput laut serta pembersihan pantai secara berkala bagi membantu mengekalkan keseimbangan ekologi dan melindungi biodiversiti pesisir Pantai,” ujarnya.
Hope 100 pula memaklumkan, sambutan dan sokongan komuniti setempat mencerminkan peningkatan minat terhadap tindakan pemuliharaan tempatan, khususnya dalam kalangan golongan muda.
“Lebih banyak program alam sekitar seumpama ini sedang dirancang sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempromosikan gaya hidup hijau dan melindungi ekosistem pesisir pantai di selatan Johor,” jelas Hope 100 lagi.- MalaysiaGazette
















