Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau kawasan sekitar bangunan selepas majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara ketika di Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 DISEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Tapak warisan tidak boleh menjadi ruang eksklusif untuk golongan elit sahaja sebaliknya perlu berperanan sebagai platform untuk penglibatan masyarakat, pembelajaran dan ekspresi budaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep Kerajan Madani menekankan keterangkuman di mana ruang warisan dipelihara dengan penjagaan secara profesional namun ia tetap dapat diakses oleh semua lapisan rakyat.

Menurut beliau, memulihara bangunan warisan bukan hanya mengenai nostalgia tetapi memperkukuhkan identiti dan nilai-nilai negara untuk generasi akan datang.

“Buat pertama kalinya, kita menyaksikan bangunan warisan dipulihkan dengan perhatian sedemikian dan kemudian dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat.

“Inilah yang memberi makna,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara di Tasik Perdana di sini hari ini.

Carcosa Seri Negara dibina pada 1896 oleh Sir Frank Swettenham, Residen-Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan dijadikan kediaman rasminya sejak 1904.

Bangunan bersejarah itu juga pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.

Pada pembentangan Belanjawan 2026 Oktober lalu, Perdana Menteri memaklumkan Khazanah Nasional Bhd. melabur sebanyak RM600 juta untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah Seri Negara.

Bagaimanapun, Khazanah  tampil menjelaskan, pelaburan sebanyak RM600 juta bagi pemuliharaan warisan di Kuala Lumpur (KL) bukan sahaja merangkumi kerja-kerja pemulihan Carcosa Seri Negara.

Di bawah inisiatif nasional Warisan KL, Khazanah telah diamanahkan untuk memelihara dan memperbaharui lapan bangunan bersejarah Malaysia yang penting iaitu Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa serta Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) yang merangkumi Bangunan Sultan Abdul Samad, Pejabat Pos Lama, bekas Mahkamah Tinggi  Kuala Lumpur, Panggung Bandaraya, bekas Pejabat Ukur FMS dan Muzium Tekstil Negara.

Selain itu, sebuah jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Seri Negara dan Carcosa ke Taman Botani Perdana Kuala Lumpur juga akan dibina.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, projek-projek pemulihan itu mewakili lebih daripada sekadar pembaharuan sambil menyifatkannya sebagai identiti dan kebanggaan negara.

Katanya, Seri Negara yang pernah menjadi sejarah kuasa namun pemulihannya kini memberikan makna baharu sebagai ruang yang mencerminkan nilai, sejarah dan aspirasi Malaysia.

“Kemerdekaan negara hanya bermakna apabila warisannya dituntut semula. Terlalu lama, bangunan-bangunan ini berdiri sebagai simbol kuasa penjajah dan elitisme.

“Kemerdekaan bukan sahaja tentang tadbir urus, ia juga tentang membebaskan minda, semangat dan identiti rakyat,” katanya.

Anwar menambah, generasi muda perlu didedahkan kepada realiti sejarah negara kerana ia penting bagi memupuk penghargaan terhadap kemerdekaan dan memperkukuhkan rasa tanggungjawab mereka terhadap masa depan Malaysia.

“Ruang ini mesti milik rakyat, kanak-kanak sekolah, anak muda Malaysia dan rakyat biasa supaya mereka dapat memahami bahawa kemerdekaan datang dengan pengorbanan, perjuangan, keringat dan air mata,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast