Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 30 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Semua dana yang dirampas daripada hasil haram melalui proses undang-undang dan keputusan badan kehakiman akan dipulangkan kepada rakyat terutama untuk kegunaan sektor pendidikan dan kesihatan.

Memberikan jaminan tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu penting bagi memastikan hasil pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati rakyat.

“Apa erti kemerdekaan kalau negara ditadbir satu wajah penjajah? Apa erti kemerdekaan kalau hasil tidak dipulangkan kepada rakyat?

“Apa erti kemerdekaan kalau ada anak-anak yang terpencil dan yang terpinggir tidak mendapat kesempatan mengecap kemewahan yang dikecapi rakan-rakan?” soalnya ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar berkata, erti kemerdekaan bukan hanya terletak pada kebebasan negara daripada penjajahan sebaliknya turut merangkumi usaha memastikan hasil kekayaan negara dikembalikan secara adil kepada rakyat.

Justeru kerajaan juga perlu memastikan golongan yang terpencil dan terpinggir tidak dinafikan peluang untuk menikmati kemajuan serta kemakmuran negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, semua rakyat tanpa mengira latar belakang, termasuk Melayu, Iban, Kadazan, Orang Asli, Cina dan India adalah warga Malaysia yang perlu diberikan perhatian serta pembelaan sewajarnya.

Beliau turut menyeru rakyat supaya merapatkan saf, memperteguh muafakat dan menyatukan tenaga bagi membina masa depan negara yang lebih tangkas, gagah serta dihormati dunia.

“Dengan rahmat dan inayah Allah SWT dan kekuatan dan semangat yang tidak pernah luntur, insya-Allah kita akan berdiri bersama, teguh, gagah dan dihormati dunia,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here