Rahmad menyampaikan sijil kepada penerima sijil di Majlis Apresiasi Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Negeri Melaka Kali Ke-28 di Auditorium Al Azim, Bukit Palah di sini hari ini

MELAKA – Melaka bercadang menarik semula bantuan persekolahan kepada kira-kira 3,000 pelajar di negeri ini yang ponteng sekolah setiap hari sekali gus memberi kesan besar terhadap sistem pendidikan di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, jumlah berkenaan melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Menurutnya, cadangan itu adalah antara 10 resolusi utama dibentangkan pada Konvensyen Khas Kerajaan Negeri bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan negeri selama dua hari yang berakhir 13 Disember lalu.

“Setiap hari di Melaka ini lebih kurang 3,000 orang pelajar ponteng sekolah atas banyak sebab antaranya malas, mak bapa tak kisah atau bekerja selain sakit tapi kalau tak tulis surat, tak ambil sijil cuti sakit maka kita anggapnya ponteng.

“Sebab itu kita nak angkat resolusi pada masa akan datang, mana-mana pelajar yang ponteng sekolah contohnya lebih 30 hari setahun, kita tarik kelayakan dia mendapatkan apa-apa imbuhan daripada kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Negeri Melaka Kali Ke-28 di Auditorium Al Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Rahmad Mariman

Menurutnya, antara contoh imbuhan yang akan ditarik ialah biasiswa, dermasiswa dan bantuan awal persekolahan disebabkan pelajar tiada rasa minat untuk bersekolah.

“Kalau mereka minat mereka akan ke sekolah tapi sampai ponteng 30 hari, 60 hari kita akan tarik balik bantuan sekurang-kurangnya itu akan memberi sedikit peringatan kepada mereka.

“Sebab kalau kita nak pakai peraturan, nak gunakan undang-undang (prosesnya) lambat,” tegasnya lagi.

Ketika ini, Melaka mempunyai kira-kira 16,000 warga pendidik dan lebih 161,000 pelajar sekolah, menjadikan sektor pendidikan antara jabatan terbesar di negeri ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast