Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Aerotree Defence and Services Sdn. Bhd. hari ini memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi untuk menghalang kerajaan daripada menggunakan jaminan bank RM1.87 juta yang dikaitkan dengan pembatalan sewaan helikopter buatan Amerika Syarikat (AS).

Syarikat itu memohon injunksi sementara dalam kes saman RM353 juta terhadap kerajaan, Kementerian Pertahanan dan ketua setiausahanya berhubung pembatalan sewaan lima tahun melibatkan empat helikopter Black Hawk UH-60A buatan negara itu.

Hakim Datuk Arik Sanusi Yeop Johari membenarkan permohonan injunksi Aerotree sementara menunggu perbicaraan kes itu diputuskan.

Beliau berpuas hati, Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan 1956 tidak menghalang perintah injunksi sementara diberikan kepada plaintif.

Mahkamah berpendapat, kes saman itu harus diputuskan berdasarkan fakta dan merit dan beliau berpandukan kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan ketika mencapai keputusannya.

Hakim Arik Sanusi kemudian menetapkan 27 Januari tahun depan bagi pengurusan kes untuk arahan pemfailan dokumen praperbicaraan.

Pada prosiding itu, Aerotree diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun bersama-sama Muhammad Luqman Hakeem Abas dan Norhazira Abu Haiyan manakala pihak kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nik Mohd Noor Nik Kar.

Aerotree memfailkan saman RM353 juta terhadap kerajaan dan dua pihak lagi untuk memaksa perjanjian sewaan helikopter berdasarkan surat setuju terima bertarikh 17 April 2023, diteruskan.

Jika sebaliknya, syarikat itu menuntut ganti rugi khas RM17.5 juta, ganti rugi tambahan RM38.7 juta, dan pampasan AS$38.7 juta (RM297.3 juta).

Ia juga menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.

Aerotree yang mengkhusus dalam kejuruteraan aeroangkasa dan latihan penerbangan, memohon kerajaan dihalang menggunakan jaminan bank RM1.87 juta, serta satu pengisytiharan bahawa penamatan pada 31 Oktober 2024 adalah tidak sah dan batal.

Dalam penyataan tuntutannya, Aerotree menyatakan kerajaan telah bersetuju untuk menyewa empat helikopter bernilai RM187.5 juta di bawah inisiatif pembiayaan swasta.

Di bawah perjanjian itu, dua helikopter sepatutnya dihantar dalam tempoh enam bulan selepas surat setuju terima, manakala dua lagi dalam tempoh sembilan bulan. Aerotree juga telah menyediakan bon pelaksanaan RM1.87 juta, yang dijamin Perwira Affin Bank.

Plaintif mendakwa telah mengambil langkah melaksanakan kontrak termasuk mengatur latihan simulator dengan Havelsan, Turkiye untuk 14 juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia serta memeterai perjanjian pembelian dan naik taraf helikopter dengan pembekal di Slovakia.

Namun, katanya, penghantaran tertangguh disebabkan pengubahsuaian teknikal, keperluan latihan juruterbang, serta gangguan rantaian bekalan akibat perang Russia-Ukraine.

Pihak syarikat telah memohon tiga kali lanjutan sehingga 30 Oktober 2024, namun masih tertakluk kepada penalti kelewatan penghantaran.

Syarikat itu juga mendakwa kementerian gagal membantu mendapatkan pinjaman daripada SME Bank, yang ketika itu sedang melalui penyusunan semula lembaga pengarah. Katanya, pertukaran menteri pertahanan turut menangguhkan urusan dokumen.

Pada 31 Oktober 2024, Aerotree menerima surat penamatan kerana gagal menyerahkan helikopter tersebut mengikut jadual.

Ia berkata, tindakan itu tidak adil kerana helikopter berkenaan telah pun didaftarkan dengan Jabatan Negara AS dan sedang menunggu kelulusan eksport di bawah Peraturan Trafik Antarabangsa dalam Senjata.

Syarikat itu menyatakan, penalti sepatutnya dikenakan, bukannya pembatalan, selain mendakwa penamatan dibuat melanggar terma surat setuju terima yang menghendaki rundingan dibuat terlebih dahulu.

Ia berkata, tindakan itu menjejaskan reputasi dan mendedahkannya kepada tindakan undang-undang daripada pembekalnya di Slovakia.

Ia juga menyatakan kementerian mengeluarkan tender baharu bagi penyewaan helikopter pada 4 Ogos lalu, bernilai RM185.2 juta, yang akan ditutup pada 23 September.

Walaupun Aerotree layak untuk memohon semula, katanya, tiada jaminan kejayaan dan ia memberi amaran mengenai kemungkinan halangan yang sama berulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast