KUALA LUMPUR – Sebanyak 520,000 dari 4.891 juta saman tertunggak berjumlah RM70 juta yang sudah dijelaskan orang ramai susulan tawaran diskaun 50 peratus Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat 1 November hingga 15 Disember 2025.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, walaupun tawaran diskaun 50 peratus itu masih terbuka sehingga 30 Disember ini, namun saman tertunggak berjumlah RM1.4 bilion masih belum dilunaskan setakat 16 Disember.
“Saya ingin mengingatkan orang awam bahawa tempoh diskaun saman JPJ yang telah bermula sejak 1 November lalu akan berakhir pada 30 Disember ini.
“Kita cuma ada 14 hari sahaja lagi untuk diskaun 50 peratus saman JPJ. Malangnya mengikut statistik sejak 1 November lalu sehingga semalam (15 Disember), hanya 520,000 saman sahaja diselesaikan oleh orang awam berjumlah RM70 juta.
“Kita masih ada lagi saman tertunggak sebanyak 4.891 juta saman yang belum diselesaikan oleh orang awam dengan jumlah tunggakan hampir RM1.4 bilion,” katanya pada sidang media di JPJ WPKL, Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aedy menggesa orang awam menyemak maklumat saman masing-masing di saluran-saluran MyJPJ, portal JPJ ataupun boleh terus ke kaunter-kaunter JPJ sebelum 30 Disember ini.
“Ini kerana sehingga 30 Disember ini, kita bagi diskaun 50 peratus dan mulai 1 Januari 2026, tiada lagi diskaun akan diberikan kepada saman-saman yang tertunggak ini.
“Saya ingatkan kepada semua, masa ada lagi 14 hari lagi untuk menyelesaikan saman-saman yang tertunggak ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















