KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya lulus sesi viva Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan pindaan kecil.
Menurut UUM menerusi laman sosial Facebooknya semalam, tajuk tesis Ismail Sabri selaras dengan pengalamannya sebagai Perdana Menteri ketika berhadapan pandemik yang melanda negara, iaitu Pengurusan Krisis dan Polisi Keselamatan Kesihatan Tahun 2020–2022: Strategi Malaysia Menghadapi Pandemik COVID-19.
Katanya, sesi viva voce PhD yang berlangsung di Bilik Viva, Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), UUM semalam itu dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis.
Sesi itu turut melibatkan pemeriksa luar iaitu Prof. Datuk Dr. P. Sivamuragan, manakala pemeriksa dalaman ialah Prof. Madya Dr. Nazariah Osman.
Tambahnya, Ismail Sabri diselia oleh Jawatankuasa Tesis yang terdiri daripada Dekan GSGSG, Prof. Dr. Rusdi Omar sebagai penyelia pertama, manakala Prof. Madya Dr. Che Mohd Aziz Yaacob dan Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw masing-masing bertindak sebagai penyelia kedua dan ketiga.
“Bagaimanapun, kelulusan penuh masih tertakluk kepada keputusan Senat Universiti,” katanya.
Sementara itu, turut menyambut kedatangan Ismail Sabri pada sesi itu semalam ialah Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor. – MalaysiaGazette
















