JOHOR BAHRU – Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah menyelar kenyataan Pemuda MIC yang menyifatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai mabuk kuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor itu menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak bermaruah sekali gus memperlihatkan keangkuhan politik tanpa prestasi.
“Kenyataan itu juga biadab, kosong dan menjijikkan, lebih-lebih lagi datang daripada sebuah parti yang gagal mempertahankan kepercayaan rakyat dalam pilihan raya, namun masih mahu bersuara seolah-olah mereka penentu hala tuju negara.
“Pemuda MIC perlu sedar satu hakikat pahit iaitu mereka tidak berada dalam posisi moral, politik atau elektoral untuk mengajar UMNO tentang prinsip,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, UMNO membuat keputusan berasaskan tanggungjawab negara, bukan jeritan slogan jalanan.
Jelasnya, laungan ‘No DAP, No Anwar’ adalah realiti kempen ketika itu, tetapi apabila negara tergantung, UMNO memilih kestabilan berbanding ego, sesuatu yang jelas tidak difahami Pemuda MIC yang masih terperangkap dalam politik emosi dan dendam.
Mohd Hairi turut mempersoalkan tindakan parti itu yang tidak kukuh pendirian dengan menyerang kepimpinan BN, namun dalam masa sama bercakap tentang kesetiaan mereka.
Katanya, sikap Pemuda MIC bukan satu keberanian tetapi jelas menunjukkan kepura-puraan dalam politik
“Pemuda UMNO menegaskan secara terbuka dan tanpa berselindung bahawa BN bukan tempat untuk parti yang suka menikam rakan sendiri.
“BN juga bukan pelindung untuk kegagalan pilihan raya dan juga bukan pentas untuk pemimpin muda yang mencari nama dengan menghina kepimpinan gabungan sendiri,” ujar beliau.
Sekiranya Pemuda MIC merasakan mereka lebih hebat, lebih bersih dan lebih berprinsip katanya, parti itu boleh keluar secara terhormat, berjuang sendirian dan berdepan hadap rakyat tanpa berlindung di bawah BN.
Mohd Hairi berkata, Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri dan tidak akan melayan politik munafik.
“Kami bersedia menjawab di mana-mana medan dengan fakta, rekod dan sokongan rakyat.
“UMNO tidak gentar ugutan politik murahan. UMNO tidak takut jeritan kosong. UMNO berdiri teguh mempertahankan kepimpinan dan kestabilan negara,” katanya.
Semalam, ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan dilaporkan menegur Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, supaya menyedari bahawa polemik antara kedua-dua parti politik itu berpunca daripada kenyataan Ahmad Zahid.
Menurut Arvind, penggunaan istilah seperti mabuk dan mabuk todi yang diungkap Ahmad Zahid semasa merasmikan Persidangan Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) pada kelmarin adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi ditujukan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette
















