Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad selepas Mesyuarat Penyelarasan Bersama Exco Luar Bandar (MEXCBLUB) di Hotel Casuarina @ Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 16 DISEMBER 2025.

IPOH – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memperluaskan penggunaan sistem e-Penghulu sebagai kaedah pengumpulan data dan pelaksanaan program pembangunan luar bandar di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem e-Penghulu yang ketika ini hanya dilaksanakan di Perak terbukti berkesan dalam memantau pelaksanaan program dan peruntukan di peringkat akar umbi.

“Pada hari ini telah mempelajari satu kaedah pemantauan, pengutipan data dan juga pelaksanaan beberapa program di bawah e-Penghulu di mana hanya negeri Perak sahaja setakat ini yang mempunyai program berkenaan.

“Justeru, saya telah mengabsahkan bahawa KKDW akan menggunakan sepenuhnya sistem ini dan meminta kepada Exco-Exco luar bandar daripada seluruh negara menggunakannya (e-Penghulu) bagi memantau pelaksanaan peruntukan-peruntukan bukan sahaja daripada KKDW tetapi daripada kementerian-kementerian yang lain,” katanya yang juga Menteri KKDW.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sistem e-Penghulu telah dibangunkan pada tahun 2019 dengan kerjasama di antara Bahagian Pengurusan Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan semua Penghulu di Negeri Perak dengan sokongan penuh dari pihak pengurusan atasan.

Ia telah diguna pakai oleh semua penghulu di semua Pejabat Penghulu Negeri Perak dalam memberi perkhidmatan pelanggan yang hadir ke Pejabat Penghulu bagi pelbagai urusan seperti aduan, bantuan kotak makanan, perakuan permohonan, pengesahan maklumat, pendaftaran eKasih dan Takaful Tabarru’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast