Antara warga asing yang ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan di sekitar Jalan Klang Lama, di sini, malam tadi. Gambar: Ihsan JIM.

KUALA LUMPUR – Seramai 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam Operasi Penguatkuasaan di sekitar Jalan Klang Lama di sini malam tadi.

Operasi tersebut dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas kawasan itu dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan warga asing khususnya dari Afrika hingga menimbulkan kegusaran penduduk setempat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang dijalankan kira-kira pukul 9.40 malam itu dilaksanakan hasil aduan awam serta risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM Putrajaya.

Seramai 99 pegawai pelbagai pangkat digerakkan bagi menyerbu lokasi yang dipercayai menjadi tempat berkumpul dan berhibur hingga lewat malam.

Dalam operasi berkenaan beliau berkata, seramai 131 individu diperiksa melibatkan 82 lelaki dan 34 wanita warga asing serta 15 warganegara tempatan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 90 warga asing berusia antara 21 hingga 35 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri daripada warganegara Nigeria, Yemen, Syria, Somalia, Guinea-Bissau, Sierra Leone, Liberia, Mali, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Pakistan, Sri Lanka dan India,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, antara kesalahan dikesan ialah tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta menyalah guna pas di bawah Seksyen 6(1)(c), 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

JIM turut mengeluarkan satu saman saksi (Borang 29) terhadap pemilik sebuah restoran di lokasi berkenaan bagi membantu siasatan.

Menurut Zakaria lagi, modus operandi PATI terbabit adalah berselindung di sebalik pas yang telah tamat tempoh dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan terbuka seperti parkir kereta serta kawasan tumpuan awam termasuk kedai makan dan restoran.

Kesemua PATI yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk tindakan lanjut.

Zakaria menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa atau menyalah guna pas, selain memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang menggaji atau melindungi PATI. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast