Rahmad Mariman

MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka mencadangkan hukuman rotan terhadap pelajar lelaki dilaksanakan semula di sekolah dan kebenaran diberikan kepada semua guru bagi menangani masalah disiplin dan ponteng.

Cadangan itu merupakan sebahagian daripada 10 resolusi pendidikan yang dirangka hasil perbincangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, cadangan tersebut timbul susulan peningkatan kes ponteng dan kemerosotan tahap disiplin pelajar di sekolah.

“Sebenarnya, ramai yang bersetuju hukuman rotan dikembalikan kerana pada zaman dahulu disiplin pelajar lebih terkawal kerana rotan bukan untuk menyeksa, tetapi untuk mendidik, itu pun hanya dikenakan kepada pelajar lelaki.

“Insya-Allah kalau Kabinet dan Kementerian Pendidikan bersetuju (cadangan rotan) semua guru boleh merotan tetapi ada peraturan dan tahapnya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Peringkat Negeri Melaka Kali Ke-28 di Auditorium Al Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, ketika ini, guru masih berdepan kekangan undang-undang sekiranya ibu bapa membuat laporan berhubung hukuman fizikal ke atas pelajar.

“Keadaan itu menyebabkan guru terpaksa berdepan risiko tindakan walaupun hukuman dikenakan bertujuan mendidik dan membetulkan tingkah laku pelajar.

“Sebab itu dalam cadangan baharu ini, antara syaratnya adalah mendapat persetujuan ibu bapa terlebih dahulu itu pun hanya melibatkan pelajar lelaki sahaja,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast