Datuk Aliff Firdaus Abd. Hadi.

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menyifatkan pelantikan Hanah Yeoh dan Datuk Lo Su Fui sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Melayu.

Lebih-lebih lagi kata Ketuanya, Datuk Aliff Firdaus Abd. Hadi, apabila jawatan strategik itu kini didominasi oleh hanya satu kaum.

Malah, ujarnya, ini juga merupakan kali pertama semenjak Wilayah Persekutuan ditubuhkan, jawatan Menteri Wilayah Persekutuan disandang oleh pemimpin daripada DAP dan berbangsa bukan Melayu.

Tegasnya, Wilayah Persekutuan merupakan jantung pentadbiran negara dan segala dasar yang digubal di situ memberi kesan besar kepada landskap politik dan sosial negara, khususnya kepada orang Melayu bandar yang semakin terhimpit.

Menurut beliau, kebimbangan utama juga adalah berkenaan pelaksanaan agenda parti seperti pemilihan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) serta peranan Menteri Wilayah Persekutuan sebagai Ahli Lembaga Pengampunan yang menuntut keadilan mutlak.

“Kami mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada YB Hannah Yeoh, namun kami ingin mengingatkan bahawa amanah ini adalah amanah rakyat, bukan amanah parti.

“Bertindaklah secara adil, profesional dan jangan sesekali meminggirkan kepentingan orang Melayu bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Hannah Yeoh diumumkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang digugurkan.

Sementara itu, Su Fui yang juga Ahli Parlimen Tawau daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan muka baharu yang dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri.

Sementara itu, Aliff Firdaus berkata, sebagai parti yang memperjuangkan agenda Melayu, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan akan terus memantau dan bersuara demi mempertahankan hak orang Melayu di ibu negara.

“Sekali lagi kami ucapkan tahniah dan selamat bertugas agar negeri Wilayah Persekutuan yang kita cintai ini akan lebih cemerlang dan makmur pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast