BANGI – Nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit meningkat 3.7 peratus kepada RM103 bilion bagi tempoh Januari hingga November 2025 berbanding tempoh sama tahun lalu sekaligus menjadikan industri sawit Malaysia sebagai tunjang utama agrikomoditi negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pencapaian tersebut didorong oleh permintaan kukuh daripada negara pengimport utama serta kekuatan struktur industri sawit negara yang disokong oleh inovasi, kepelbagaian aplikasi dan pematuhan kemampanan.
“Prestasi positif itu juga mencerminkan daya tahan sektor berkenaan dalam mendepani cabaran ekonomi dan ketidaktentuan global.
“Prestasi ini menunjukkan industri sawit Malaysia kekal berdaya saing dan relevan di pasaran global meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik serta cabaran cuaca yang semakin sukar dijangka,” katanya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata, India kekal sebagai pasaran terbesar minyak sawit Malaysia dengan import sebanyak 2.4 juta tan atau 17.3 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan dalam tempoh Januari hingga November 2025.
Kenya pula, katanya, muncul sebagai pasaran kedua terbesar dengan import sebanyak 1.1 juta tan, diikuti Kesatuan Eropah (EU) sebanyak 945,000 tan, China sebanyak 797,000 tan dan Filipina dengan 681,000 tan.
“Perkembangan ini sekali gus mencerminkan kepelbagaian pasaran eksport sawit negara yang semakin meluas dan tidak bergantung kepada satu destinasi sahaja.
“Prestasi eksport yang kukuh itu turut mengukuhkan peranan sektor sawit sebagai pemacu utama industri agrikomoditi negara, di samping menyumbang kepada peluang pekerjaan, pendapatan pekebun dan rantaian nilai industri hiliran,” katanya.
Mengenai hala tuju industri, Johari berkata, tumpuan kini bukan lagi kepada pembukaan ladang baharu sebaliknya memberi keutamaan kepada peningkatan hasil di kawasan sedia ada melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), penggunaan bahan tanaman berkualiti serta amalan pertanian baik.
“Malaysia komited kepada pendekatan tiada penebangan hutan dan menumpukan kepada peningkatan produktiviti melalui teknologi, inovasi dan pengurusan ladang yang lebih cekap, selari dengan keperluan pasaran global yang menuntut minyak sawit mampan.
“Sepanjang 25 tahun penubuhan MPOB, lebih 700 projek R&D telah dijalankan dengan kira-kira 200 daripadanya berjaya dikomersialkan, sekali gus memperluas penggunaan minyak sawit bukan sahaja dalam sektor makanan malah aplikasi bukan makanan bernilai tinggi.
“Kepelbagaian aplikasi berasaskan R&D turut menyumbang kepada pengukuhan nilai eksport minyak sawit negara yang kini mencecah lebih RM100 bilion setahun selain meningkatkan daya tahan industri dalam jangka panjang.
Johari turut menegaskan program penanaman semula secara berperingkat menjadi antara keutamaan industri, memandangkan sebahagian pokok sawit negara telah melepasi tempoh produktif biologi. – MalaysiaGazette
















