KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang baharu diharap akan dapat memperkukuh agenda hijau di peringkat negeri dan Persekutuan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pelantikan itu dilihat tepat dengan keperluan semasa negara yang kini berdepan cabaran besar dalam mengimbangi pengurusan sumber asli dan kelestarian alam sekitar.
Beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada Arthur dan percaya kredibiliti pemimpin muda dari Sabah itu mampu membawa perubahan dalam memastikan agenda kelestarian dilaksanakan secara lebih berkesan.
“Di peringkat Sabah, kami sentiasa membuka pintu seluas-luasnya untuk bekerjasama erat dengan kementerian yang diterajui Arthur.
“Beberapa aspek kritikal menjadi keutamaan dalam sinergi antara kedua-dua kementerian termasuklah pemeliharaan biodiversiti dan pengurusan kawasan perlindungan yang menjadi aset penting Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sinergi antara kedua-dua kementerian ini penting bagi memastikan pembangunan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan kelangsungan industri pelancongan dapat bergerak seiring.
“Penyelarasan yang mantap antara Sabah dan kementerian Persekutuan merupakan kunci utama bagi memastikan kelangsungan alam sekitar terus terpelihara.
“Ini demi kepentingan masa depan negeri dan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Arthur yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kini bertukar portfolio kepada Menteri penuh selepas pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -MalaysiaGazette















