KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan membuat pengumuman khas berhubung Kabinet hari ini.
Ia dijangka disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen nasional jam 3.30 petang ini.
“Insya-Allah, petang ini saya akan membuat pengumuman khas terkait Kabinet Kerajaan MADANI.
“Kerajaan MADANI akan terus memberi keutamaan untuk memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kenyataan itu sekali gus mengesahkan desas-desus pengumuman barisan Kabinet baharu yang semakin hangat diperkatakan kebelakangan ini.
Ia terutamanya selepas Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak mempunyai Menteri selepas Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz tamat tempoh Senator kira-kira dua minggu lalu.
Selain itu, dua kementerian tidak mempunyai peneraju selepas Datuk Seri Rafizi Ramli meninggalkan Kementerian EKonomi berkuatkuasa 17 Jun lalu manakala Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuatkuasa 4 Julai 2025.
Kedua-dua jawatan tersebut dipangku oleh masing-masing Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (Kementerian Ekonomi) dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam). -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















