KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menghormati sepenuhnya keputusan Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merehatkan beliau daripada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka.
Menurutnya, keputusan itu dibuat mengikut Perlembagaan dan tradisi parti.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan pelantikan Timbalan Pengerusi MPN Melaka, Adam Adli Abdul Halim bagi memangku jawatan itu sebagai langkah bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelancaran gerak kerja parti di peringkat negeri.
Jelasnya, beliau akan terus memberi tumpuan memperkukuh cabang serta menyumbang kepada kekuatan PKR Melaka secara keseluruhan.
“Saya memberi sokongan penuh kepada Saudara Adam Adli dalam menjalankan amanah sebagai Pemangku Pengerusi MPN Melaka dan percaya beliau mampu memimpin dengan baik.
“Fokus utama kita adalah memperkukuh organisasi parti, menyusun jentera, dan memastikan KEADILAN terus relevan serta dekat dengan rakyat Melaka.
“Sementelahan pula tahun 2026 akan dilangsungkan Kongres Parti dan juga Pilihanraya Dun Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, Biro Politik PKR memutuskan supaya Adam Adli memangku tugas Pengerusi MPN Melaka berkuat kuasa semalam.
Ujarnya, ketetapan itu dibuat susulan keputusan parti untuk merehatkan Shamsul Iskandar daripada menjalankan tugas sebagai Pengerusi MPN Melaka.
Bagaimanapun, Dr Fuziah menjelaskan jawatan Shamsul Iskandar sebagai Ketua Cabang Hang Tuah Jaya kekal dan tidak terjejas dengan keputusan tersebut.
Shamsul Iskandar ketika ini sedang berdepan pertuduhan berkait kes rasuah melibatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah bersama-sama ahli perniagaan, Albert Tei.
Terdahulu, beliau turut meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri selepas mendakwa terdapat percubaan untuk menyerangnya secara peribadi dan merosakkan imej Kerajaan Madani berkait kontroversi surat sokongan.
Sementara itu, Shamsul Iskandar turut menyeru pimpinan PKR kekal muafakat, matang dan berdisiplin dalam mendepani cabaran politik semasa serta simpang-siur serangan bertubi-tubi bertujuan untuk menggugah kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette
















