Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

KUALA LUMPUR — Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong hari ini menulis di laman sosial X dengan memaparkan laporan pencapaian dan rekod prestasi beliau di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sepanjang tempoh 2023 hingga 2025.

Perkongsian itu dibuat ketika spekulasi rombakan Kabinet hangat diperkatakan.

Namun Steven tidak menyentuh sebarang kemungkinan perubahan portfolionya sebaliknya fokus kepada hasil kerja dan pembaharuan dilaksanakan kementerian sepanjang dua tahun lalu.

Dalam hantaran itu, Steven memaklumkan Disember ini menandakan ulang tahun kedua beliau di Kesuma dan menyifatkan peluang berkhidmat di kementerian berkenaan sebagai satu amanah untuk mengangkat martabat pekerja.

“Antara pencapaian utama yang diketengahkan termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 serta gaji bulanan median negara yang melepasi paras RM3,000 sebulan buat pertama kali.

“Dasar Gaji Progresif telah memanfaatkan lebih 32,000 pekerja pada 2025 dengan kenaikan gaji permulaan median sehingga 16 peratus,” tulis beliau.

Dalam pada itu, Steven berkata, kadar pengangguran negara kini berada pada paras terendah dalam tempoh 10 tahun selain mencatat peningkatan tertinggi dalam penubuhan kesatuan sekerja baharu.

Mekanisme perjanjian kolektif turut diperkukuh termasuk penyelarasan gaji sehingga 10 peratus dan gaji permulaan RM1,800 menerusi perjanjian terkini melibatkan Genting Malaysia.

Beliau turut menekankan pencapaian dalam aspek perundangan dan keselamatan pekerjaan, termasuk ratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta penguatkuasaan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) mengikut amalan terbaik antarabangsa.

“Selain itu, pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun dilaksanakan bagi memberikan hak buruh yang lebih saksama di seluruh negara, selain usaha memperkasa Mahkamah Perusahaan Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut menyenaraikan inisiatif melibatkan hak pekerja migran, peningkatan faedah PERKESO serta pengenalan Skim Lindung 24 Jam PERKESO selepas hampir 50 tahun.

Katanya, kementerian juga membentangkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig serta melaksanakan reformasi TVET melalui pindaan undang-undang berkaitan pembangunan kemahiran.

Sementara itu, daripada sudut pentadbiran, beliau berkata, Kesuma menjalankan rekayasa proses bagi mengurangkan birokrasi termasuk memendekkan tempoh kelulusan permit ekspatriat kepada 20 hari.

Selain kelulusan geran HRD kepada 24 jam serta mempercepatkan pengeluaran sijil kemahiran dan urusan Mahkamah Perusahaan.

Mengakhiri hantaran itu, Steven merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan Kesuma dan pemegang taruh atas kerjasama sepanjang dua tahun lalu sambil menyuarakan harapan agar perjuangan pekerja terus diperkasakan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast