KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim mendapat jawatan paling sesuai sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT).
Sambil mengucapkan tahniah, Mohd Puad berkata, Adam Adli kini boleh melaksanakan agenda menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti yang pernah diperjuangkan sebelum ini.
Malah, beliau turut menggesa Adam Adli supaya bersuara untuk menghapuskan PTPTN dalam mesyuarat pasca Kabinet KPT kelak.
“Baru nampak berbaloi tidur dalam khemah di dataran Merdeka.
“Itu yang Rafizi kata “Hidupkan Idealisme Reformasi Ujian Kuasa (HIRUK)”.
“Jadi pembangkang memang mudah. Tapi bila berkuasa baru tahu tinggi dan rendah langit.
“Takkan nak tidur lagi di Dataran Merdeka,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Dalam pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Adam Adli bertukar portfolio daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menggantikan Datuk Mustapha Sakmud.
Ketika era kebangkitan reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan merupakan antara pemimpin mahasiswa yang lantang menuntut supaya PTPTN dihapuskan. – MalaysiaGazette

















Setuju dan sokong…sekarang walk the talk