KUALA LUMPUR – Isu berkaitan pendidikan tidak seharusnya dijadikan bahan politik semata-mata kerana tindakan sedemikian boleh mengheret perbahasan ke arah emosi dan polemik politik yang keterlaluan, sekaligus mengaburkan objektif sebenar pembangunan sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, sebarang perbincangan melibatkan hal ehwal pendidikan perlu dilihat secara menyeluruh dalam kerangka Perlembagaan negara, asas pendidikan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan, bukannya dari sudut kepentingan politik sempit.
“Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, perkara sebegini tidak boleh dijadikan sebagai bahan politik semata-mata.
“Apabila ia dibawa ke arah perbahasan politik, ia akan turut melibatkan soal emosi dan akhirnya menjejaskan perbincangan yang objektif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran dan Training of Trainer Perdana Kursus Mata Pelajaran Pengajian Umum di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.
Beliau ditanya wartawan mengenai perkembangan terbaharu berhubung Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Isu berkenaan sebelum ini menjadi perdebatan hebat oleh beberapa pihak yang rata-rata menentang ia dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Zambry menegaskan, sistem pendidikan negara dibangunkan berteraskan keperluan dan acuan Malaysia sendiri.
Justeru beliau berkata, setiap isu perlu dinilai berdasarkan konteks sistem sedia ada yang merangkumi pelbagai aliran dan pendekatan.
Beliau menambah, sebarang perbincangan berkaitan pengiktirafan sijil atau perkara berkaitan pendidikan harus dilihat secara objektif, termasuk dalam konteks bahasa, sejarah dan asas pendidikan negara.
“Jangan kita terbawa-bawa dengan permainan dan emosi politik yang keterlaluan sehingga mengabaikan aspek-aspek lain yang lebih penting.
“Apa yang perlu diberi keutamaan ialah objektif sebenar pembangunan pendidikan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















