KUALA LUMPUR – Segala ikhtiar dan pilihan yang ada akan diteroka sedaya upaya dalam meletakkan ekonomi negara pada posisi yang terbaik.
Menteri Ekonomi baharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu perlu dilakukan meskipun berhadapan dengan cabaran yang amat sukar dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar.
Ujarnya, pertumbuhan ekonomi dunia dijangka lebih perlahan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2027 dengan isu ketegangan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan global masih menjadi cabaran utama kepada pertumbuhan ekonomi.
“Insya-Allah kebimbangan ini akan mendorong fokus saya dalam menentukan keutamaan yang perlu diambil,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Akmal Nasrullah berkata, beliau yang selesai menjalani upacara angkat sumpah jawatan itu di Istana Negara pagi ini terus memulakan tugasnya di Kementerian Ekonomi.
“Saya bersama-sama YB Timbalan Menteri lakukan perbincangan dengan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan KSU sebelum ke Mesyuarat Kabinet,” katanya.
Dalam pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Akmal Nasrullah yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dilantik sebagai Menteri Ekonomi, sekali gus menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletak jawatan pada 27 Mei lalu. – MalaysiaGazette
















