KUALA LUMPUR – Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr. Sirhajwan Idek, dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Anugerah Kesedaran Kelestarian, Sisa dan Tindakan Bertanggungjawab (Sustainability Waste Awareness and Responsible Action Awards, SWARA) anjuran Southeast Asian Regional Centre for Tropical Biology (SEAMEO BIOTROP).
SEAMEO BIOTROP adalah satu badan pendidikan yang berpangkalan di Bogor, Indonesia
Beliau dipilih daripada 12 finalis bagi anugerah ini, empat dipilih untuk menerima anugerah berupa sijil pencapaian, plak anugerah dan wang tunai.

Sirhajwan, satu-satunya finalis dari Malaysia, dipilih sebagai penerima anugerah khas atas usahanya membimbing dan membantu para pelajarnya di KV Keningau untuk kitar sisa-sisa makanan seperti sisik ikan, buah-buahan dan nasi menjadi makanan, bahan kosmetik dan bahan pencuci.
Para pelajarnya pula telah memenangi anugerah dalam beberapa pertandingan, menerbit artikel ilmiah dalam jurnal serta ada yang berjaya menjual produk-produk tersebut.
Mereka juga telah melaksanakan kerja-kerja kesukarelawanan menggunakan produk inovasi mereka seperti membersih longkang sekolah dengan pencuci yang diperbuat daripada sisa makanan hijau.
Para pelajarnya dan produk-produk ciptaan mereka telah mendapat liputan luas di media tempatan.
Sirhajwan menamakan projek ini sebagai upcycled food waste social entrepreneurship ataupun keusahawanan sosial berasaskan sisa makanan yang dikitar semula dalam penyertaannya untuk anugerah ini.
Sirhajwan yang pernah menerima pengiktirafan terdahulu dengan usahanya mendidik bahasa Inggeris dan memperbudayakan amalan inovasi di KV seperti ELTons Innovation Awards dari British Council pada tahun 2024 dan Ikon Belia Karismatik Negara dari Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2022 menjadikan ibunya, Bintek Abdul Rahman, sebagai sumber inspirasi dan idolanya.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, yang bangga dengan pencapaian Sirhajwan menyifatkan pencapaian dan pengiktirafan terhadap guru ini bukti bahawa profesion perguruan adalah satu tugas dan tanggungjawab yang sangat penting dalam memangkin perubahan berimpak terhadap masyarakat dan alam persekitaran melalui peranan mereka sebagai pendidik. – MalaysiaGazette
















