Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed

KUALA LUMPUR – Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang ke-11 berkuat kuasa 16 Disember 2025, kata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dr. Ahmad Martadha, 57 tahun, merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Southern Illinois University, Carbondale, Amerika Syarikat.

Beliau kemudiannya telah melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam di Indiana State University, Amerika Syarikat sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang yang sama dari Southern Illinois University.

Dr. Ahmad Martadha berpengalaman luas dalam bidang kepimpinan dan tadbir urus universiti dan pernah dilantik ke beberapa jawatan strategik di UUM termasuklah sebagai Dekan Pembangunan Pelajar, UUM dari tahun 2005 hingga 2008, Dekan (Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan) dan Pengarah Perancangan Strategik dan Kualiti, Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, UUM antara tahun 2005 hingga 2013.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM bermula tahun 2022 hingga kini.

Kementerian yakin, kepakaran Dr. Ahmad Martadha dalam bidang pentadbiran awam serta pengalaman menerajui institusi di pelbagai peringkat, beliau mampu menerajui UUM dan memainkan peranan strategik sebagai pemacu utama dalam memperkukuh budaya pemindahan ilmu serta merealisasikan visi universiti untuk menjadi sebuah institusi pengurusan terkemuka yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam masa sama, KPT turut merakamkan setinggi-tinggipenghargaan dan terima kasih kepada Prof. Datuk Dr. Mohd Fo’ad Sakdan atas jasa bakti beliau menerajui UUM sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast