KUALA LUMPUR – Pengalaman luas Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam bidang korporat membuktikan keupayaan beliau dalam membuat keputusan strategik, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Pengalaman tersebut juga menurut beliau, membolehkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang baharu dilantik itu memberikan pemahaman praktikal tentang rantaian bekalan global, cabaran pasaran antarabangsa dan keperluan untuk meningkatkan daya saing eksport Malaysia.
Sehubungan itu, Reezal yakin bahawa kepimpinan baharu MITI akan terus memperkukuh agenda eksport negara seiring dengan keutamaan pembangunan ekonomi Malaysia di samping memberi sokongan padu terhadap inisiatif promosi eksport serta pembangunan pengeksport yang diterajui Matrade.
“Pengalaman luas Datuk Seri Johari dengan latar belakang profesional yang kukuh dalam bidang kewangan, perakaunan, pengauditan, dan hal-ehwal korporat merupakan kriteria penting dalam menyokong pembangunan ekonomi, khususnya dalam merangka dan melaksanakan dasar berkaitan pelaburan, perdagangan dan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Johari pernah memegang beberapa jawatan penting Kabinet merangkumi Timbalan Menteri Kewangan (2015-2016), Menteri Kewangan II (2016-2018) serta Menteri Perladangan dan Komoditi sejak 2023.
Pengalaman tersebut amat signifikan dalam merangka dasar berkaitan pelaburan, perdagangan, dan industri yang berkait rapat dengan dasar fiskal, insentif percukaian dan aliran modal negara. -MalaysiaGazette















