MELAKA – Ketua Polis Melaka menerima secara terbuka keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengarahkan siasatan kes tembakan melibatkan tiga suspek jenayah di Durian Tunggal diklasifikasikan semula di bawah kesalahan bunuh.
Datuk Dzulkhairi Mukhtar menegaskan, sejak awal lagi siasatan kes berkenaan telah diserahkan sepenuhnya kepada Bukit Aman tanpa sebarang campur tangan pihaknya sebagai komitmen terhadap prinsip ketelusan dan keadilan.
“Kita tidak masuk campur langsung dan ini menunjukkan ketelusan kita dalam menjalankan siasatan. Kita juga tidak berat sebelah dalam siasatan dan akur dengan apa jua keputusan. Kita akan pastikan jika benar yang terlibat itu bersalah tindakan yang sewajarnya akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang dia ini hari ini.
Semalam, AGC mengarahkan siasatan kes melibatkan tiga lelaki yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Melaka diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Keputusan itu dibuat selepas jabatan berkenaan dirujuk serta meneliti taklimat dan cadangan yang dikemukakan oleh PDRM.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi menegaskan bahawa beliau mengambil tanggungjawab penuh sebagai Ketua Polis Negeri Melaka dalam apa jua keadaan.
“Walau apa pun keputusan semangat PDRM khususnya Polis Melaka kita tidak akan luntur dan tetap memastikan keselamatan dan ketenteraman awam awam di Melaka ini dijaga dengan sebaiknya.
“Memang kerja tugas kita, daripada awal saya dah tekankan kepada pegawai-pegawai dan anggota saya kerja dengan hati.
“InsyaAllah, kalau kita kerja dengan hati, kebenaran akan bersama kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















