Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan beramah mesra bersama kakitangan pada hari pertama memulakan tugas di Kompleks Islam Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 17 DISEMBER 2025

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan komited untuk memastikan Malaysia terus menjuarai industri halal bukan sahaja tempatan bahkan antarabangsa.

Beliau percaya pencapaian itu dapat dilakukan sekiranya beliau dan timbalannya, Marhamah Rosli meneruskan kesinambungan kepimpinan terdahulu dalam kementerian tersebut.

“Sebenarnya kita sudah mempunyai rekod prestasi yang sangat baik, malah Malaysia telah diiktiraf sebagai negara terbaik di dunia. Kita telah mengiktiraf lebih 92 badan halal di dunia dari 47 negara.

“Ini menunjukkan kita sudah berada di tahap terbaik, namun kita sudah pun mempunyai rangka pelan terbaik untuk memastikan kita terus ke hadapan dan terus menjuarai kepada industri halal di peringkat antarabangsa.

“Saya melihat kesinambungan kepimpinan itu, namun kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan juga pimpinan lain kerana memilih kami berdua untuk memimpin Hal Ehwal Agama ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Terdahulu Zulkifli dan Marhamah mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik bermulanya tugas pertama mereka masing-masing sebagai Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kira-kira jam 12.18 tengah hari tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan bersama Timbalan Menteri, Marhamah Rosli mengimbas mesin perakam waktu sebagai simbolik hari pertama memulakan tugas di Kompleks Islam Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 17 DISEMBER 2025

Selain industri halal, Zulkifli berikrar untuk membina satu pasukan terbaik dalam kesemua 14 agensi yang dipertanggungjawabkan di bawah kementeriannya.

“Kita melihat bahawa amanah ini, taklif dan tanggungjawab ini adalah sesuatu yang mesti kita laksanakan sebaiknya dengan penuh keikhlasan, dengan penuh ketulusan.

“Mesti ada keharmonian, perpaduan dan juga kesatuan hati dan minda untuk melaksanakan perjuangan ataupun hal ehwal agama di Malaysia,” katanya.

Ketika ditanya tentang hala tuju kementeriannya, Zulkifli berkata, beliau perlu memastikan Hal Ehwal Agama peranan penting dan signifikan dalam masyarakat dan juga dalam konteks pembangunan negara.

“Apa yang ingin kita bawa adalah imej Islam itu rahmah, inklusif, damai, maqasid, wasati dan meraikan kepelbagaian. Dalam maksudnya sama, Islam yang berkemajuan.

“Ini kita nak tunjukkan kepada semua bahawa Islam itu adalah sesuatu yang indah, yang boleh memberikan kerahmatan kepada seluruh alam, kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast