KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyambut baik langkah Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula insiden kematian tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka sebagai kes bunuh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu penting dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang, kepentingan akauntabiliti dan kepercayaan awam.
“Kes-kes kehilangan nyawa akan disiasat secara menyeluruh, telus, bebas dan tanpa prejudis, terutama sekali apabila wujudnya keraguan mendalam terhadap penjelasan awal kes oleh pihak polis,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, AGC bersetuju dan mengarahkan agar siasatan diklasifikasikan semula kes tembakan melibatkan tiga lelaki yang disyaki perompak di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh.
Menurut AGC, penelitian awal juga mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat.
Pada 24 November lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati dalam satu kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang anggota polis.
Insiden kira-kira jam 4.30 pagi itu mengakibatkan seorang anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah di bahagian lengan kiri.
Takiyuddin juga berkata, Ahli-Ahli Parlimen PN juga menggesa semua pihak berkaitan supaya memberikan kerjasama penuh kepada pasukan penyiasat, bersikap profesional sekali gus membenarkan proses undang-undang berjalan secara bebas dan lancar bagi memastikan keadilan akan tertegak.
“Ahli-Ahli Parlimen PN akan terus memantau rapat perkembangan kes ini atas kepentingan kebenaran dan keadilan, kepercayaan awam serta integriti institusi-institusi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















